Biscotti


Category Archive

The following is a list of all entries from the Sticky Self Reminder. category.

Tip Menguatkan Memori.

assalamualaikum.

  • Niat untuk Mengingat.

Kedengaran seperti agak kelakar tetapi ia teknik yang sangat berkesan. Apabila menjalankan latihan, Abang Badr akan memberi amaran kepada peserta program bahawa setiap perkara yang diberitahu akan disoal semula pada akhir kelas. Menariknya, mereka dapat mengingat dengan baik!

Rahsianya ialah tatkala memberikan amaran untuk menyoal semua perkara yang diajar, peserta terus memfokuskan minda untuk mendengar setiap perkara yang bakal diperkatakan. Mereka bersedia dan itulah yang dikatakan untuk mengingat.

Ajaibnya, minda dapat menyerap maklumat dengan baik kerana hati turut sama bersedia. Jadi ketika belajar, anda mesti berniat untuk mengingat!

  • “Repetition is the Mother of Knowledge.”

Minda ini mudah mencerap dan menerima ilmu apabila ia dimasukkan secara berulang kali. Bukankah teknik ini juga digunakan oleh para penghafaz al-Quran? Mereka membaca berulang kali sehingga benar-benar menguasai ayat-ayat tersebut.

Dengan mengulang perkara yang perlu diingat, maklumat-maklumat itu mudah melekat. Andai anda dapat menghidupkannya dalam kehidupan sebagai pelajar, percayalah ingatan anda akan menjadi sangat kuat. Kerana pengulangan ialah ibu kepada proses pembelajaran!

  • Nota Bergambar dan Berwarna.

Otak manusia sangat bersedia untuk mengingat sekiranya paparan yang dilihat dalam bentuk berwarna dan berwarna.

Nota yang sarat dengan dengan tulisan bakal membuahkan kebosanan ketika belajar. Malah mengurangkan kemampuan untuk mengingat sesuatu perkara. Di sinilah perlunya teknik nota bergambar dan berwarna. Salah satu daripadanya ialah peta minda.

Dengan penjelasan yang mudah difahami, warna yang pelbagai serta diselitkan pula dengan poin yang menggambarkan isi-isi penting, peta minda membangkitkan kemampuan otak untuk mengingat dan mencetak informasi dalam kotak memori. Disebabkan itulah kita sendiri lebih mudah mengingat wajah seseorang berbanding namanya, betul kan?

  • Pemakanan Seimbang.

Tidak dapat dinafikan betapa memori juga dipengaruhi oleh makanan yang kita makan. Makanan yang baik untuk otak antaranya :

  1. Kismis
  2. Madu
  3. Telur
  4. Buah beri
  5. Kacang dan bijiran.
  6. Ikan
  7. Coklat
  8. Sayur-sayuran hijau.

Dalam masa yang sama, elakkan makan makanan yang mengikis kekuatan, antaranya :

  1. Jeruk
  2. Aiskrim berlemak.
  3. Makanan ringan (junk food).
  4. Rokok.
  • Doa Kuatkan Ingatan.

Usah lupa segala kekuatan dan kelebihan ialah kurniaan daripada Yang Maha Esa. Mintalah kepadaNya, sujud dan mengadulah semahu-mahunya. Pohonlah agar ingatan anda sentiasa kuat, segar dan kental.


Hukum Sambutan Valentine’s Day.

assalamualaikum.

I remember scrolling through my Facebook news feeds six months ago casually when an interesting subject caught my eyes.

Why so serious, kid? Just keep calm and take a leaflet 🙂

Reading on  the students in the picture go to the same school as I did ten years ago, I was really curious about what the contents of the leaflet is all about.

Fortunately, I managed to get hold of a copy since Ameerul was more than willing to give his up to me. Thanks, bud!

Disclaimer : The contents of the article below is taken directly from the leaflet with no alterations whatsoever.

So, here goes nothing!

Read first.

Judge later.

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama Kristian dan menjurus kepada kebobrokan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam,

Dalam erti lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”

(Surah al-Kafirun  ayat 1-6)

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud

“Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya : Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab : Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada (268-270 M).

Bermula dari kisah ini, mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St. Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

  • Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

  • Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama Kristian.

  • Menulis kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

  • Kebanyakan negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

  • Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari Memperingati Kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah maksiat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya, perbuatan ini bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina.

Firman-Nya : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.”

(Surah Al-Isra’ : 32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan pada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan yang akan mendapat lindungan ‘Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang (bertemu dan berpisah) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.”

(Surah Al-Ghaafir : 39)

Keputusan.

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day.

Mesyuarat Jawatankuasa Negeri Selangor 1/2006 yang bersidang pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa : Amalan merayakan perayaan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalan yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Orang Islam yang bertindak dengan cara menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti yang dinyatakan atau dibenarkan melalui fatwa ini, boleh dikenakan tindak di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan meraikan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah :

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkansoal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang. Islam menolak konseo kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”

(Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Diterbitkan Oleh :

Jabatan Mufti Negeri Selangor

Tingkat 7 & 8, Menara Utara,

Bangunan Sultan Idris Shah,

40000 Shah Alam,

Selangor Darul Ehsan.

 

Telefon : 603-55143738

Fax : 603-55197584

E-mail : mufti_sel@selangor.gov.my

Laman web : http://www.muftiselangor.gov.my

 

 


Rabi’ah Al Adawiyah

assalamualaikum.

  • Suatu saat, Sufyan at-Tsauri bersama Rabi’ah al Adawiyah, dia berdoa :

“Ya Allah, berilah redha kepadaku.”

Rabi’ah al Adawiyah berkata :

“Tidakkah malu apabila Allah tidak memberikan apa yang engkau minta itu?”

 

  • Ruwaym berkata:

“Taubat ialah hendaklah kamu tidak akan mengulangi lagi perbuatan-perbuatan dosa, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh seorang wali wanita, Rabi’ah al Adawiyah :

“Saya memohon keampunan kepada Allah dari sedikitnya perbuatan benar dari diriku.”

 

  • Alangkah sedikitnya rasa sedihku. Bila engkau benar-benar merasa sedih, maka tidak akan ada kesempatan untuk bersuka-suka.

 

  • Permohonan ampun kita itu memerlukan pengulangan yang banyak.

 

  • Sufyan at-Tsauri memohon nasihat kepada Rabi’ah al Adawiyah dan berkatalah beliau :

“Engkau seorang yang baik, sekiranya engkau tidak mencintai dunia.”

 

  • Beliau bersyair mengenai cinta kepada Allah, sebagai berikut :

“Aku cinta padaMu kerana dua sisi,

Cintakan diriMu dan cinta kerana Engkau patut dicintai.

Aku cinta akan diriMu,

Aku selalu mengingatiMu,

Bukan yang selainMu.

Adapun cinta kerana Engkau patut dicinta,

Aku tidak mengetahui alam sebelum tahu diriMu.

Tiada puji dalam hal ini,

Dan itu bagi diriku,

Tetapi puji dalam hal ini,

Dan itu hanya milikMu.”


Wasiat Hassan Al Banna.

assalamualaikum.

Wahai anak-anakku,

Telah tiba masanya kalian kembali kepada Allah S.W.T dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian.

Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah.

Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.

Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya.

Lebih dari itu,

Aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

Wahai para pemuda,

Aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggungjawab.

Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah.

 Aku menyeru kalian untuk menghadap Allah dan memohon keampunan dariNya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian.

Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

 Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada Allah.

Wahai anak-anakku,

Aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

Wahai puteriku,

Aku ingin kalian berjanji kepada Allah akan mengenakan hijab secara jujur dan betul.

Aku meminta kalian berjanji kepada Allah bahawa kalian akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia.

Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan.

Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian.

Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.

 Kepada semua,

Aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang.

Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan.

Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah.

Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat.

Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik.

Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.

Biasakan diri kalian agar dapat melindungi dan membuat perancangan untuk masa depan.

Berpeganglah kepada agama kalian.

Carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada Allah.

 


Hasan Al Basri.

assalamualaikum.

  • Carilah manisnya amal dalam tiga perkara. Kalau kamu telah mendapatkannya, maka bergembiralah dan teruslah mencapai tujuan dan jika kamu belum mendapatkannya, maka ketahuilah pintu masih tertutup rapat. Tiga perkara itu ialah :

 

  • Ketika kamu membaca al-Quran

 

  • Ketika kamu berzikir dan

 

  • Ketika kamu bersujud.

 

  • Seksa bagi orang alim itu ialah matinya hati. Ketika beliau ditanya, “Bagaimana matinya hati itu?”. Beliau menjawab, “Mencari dunia dengan amal akhirat. Tuntutlah ilmu tanpa melupakan ibadah. Dan kerjakanlah ibadah tanpa lupa pada ilmu. Engkau akan mati dan semuanya akan engkau tinggalkan. Hartamu nanti akan dibahagi-bahagikan kepada ahli warismu yang akan saling bercakaran termasuk isterimu yang masih muda belia, ia akan kahwin lagi dengan orang lain. Jadi kekayaan itu kelak hanya menjadi milik calon suaminya yang baru.

 

  • Barangsiapa mendoakan orang zalim agar panjang umurnya, maka ia telah mencintai maksiat kepada Allah S.W.T yang terus berlangsung di muka bumi.

 

  • Setiap orang solat yang hatinya lalai dan lengah, maka hal yang demikian itu adalah lebih cepat mendapat seksa.

 

  • Memutuskan silaturrahim dengan orang fasik adalah cara mendekatkan diri kepada Allah S.W.T

 

  • Sebagai tanda orang Muslim ialah kuat dalam memegang agama, keras hati tetapi disertai dengan lemah lembut, beriman dengan menggunakan keyakinan, berpengetahuan dengan disertai dengan kesabaran, berfikiran panjang dengan disertai kasih sayang, memberikan mana yang hak kepada orang lain dan mengikuti jalan yang benar, bersikap sederhana meskipun kaya, menunjukkan kebaikan (kecukupan) sekalipun dalam kekurangan (kemiskinan), berbuat baik selagi masih berkuasa melakukan, menanggung segala penderitaan dengan berusaha menghilangkannya , selalu bersabar dalam kesulitan, tidak dikuasai oleh perasaan marah, tidak sombong, membela pada yang hak, tidak tunduk kepada nafsu syahwat, tidak tamak haloba dan bercita-cita tinggi. Ia suka menolong orang yang teraniaya, belas kasihan kepada yang lemah, tidak kedekut dan boros, tidak membazir dan tidak keterlaluan dalam menggenggam hartanya. Suka memaafkan jika dizalimidan terhadap orang yang menyakitinya. Tabah dan sanggup berkoban demi kebahagiaan orang ramai dan berkecukupan dengan sikapnya yang sedemikian.

 

  • Berjabat tangan mengeratkan kasih sayang.

 

  • Barangsiapa yang mengajakmu berlumba-lumba dengan agama, maka turutilah dia dan barangsiapa mengajakmu berlumba-lumba dengan dunia, maka lemparkanlah dunia itu ke lehernya.

 

  • Allah mengasihani kaum yang menganggap dunia sebagai simpanan. Lalu mereka menyerahkannya kepada orang yang sanggup memegang amanat mereka terhadap barang simpanan tersebut. Kemudian mereka merasa senang dengan ringannya beban.

 

  • Kasihan sekali manusia yang menyukai harta, yang halalnya diperhitungkan dan haramnya diazab. Kalau yang halal diambilnya, nescaya ia diperhitungkan. Dan kalau yang haram diambilnya, nescaya ia diazabkan. Manusia itu berdiri sendiri (bebas) dengan hartanya dan tidak bebas dengan amal perbuatannya. Ia gembira jika malapetaka menimpa agamanya dan berduka jika malapetaka menimpa dunianya.

 

  • Manusia pasti mengalami tiga kerugian :

 

  • Tidak merasa kenyang dari barang yang dikumpulkannya.

 

  • Tidak memperolehi apa yang diangan-angankan.

 

  • Tidak mendapat bekalan yang baik dari perjalanan yang ditempuhinya.

 

  • Surat al-Hassan al Basri yang diajukan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz :

 

  • “Sesungguhnya dunia itu merupakan negeri perantauan dan bukan negeri yang tetap. Nabi Adam a.s. diturunkan dari syurga ke dunia kerana seksaan. Maka takutilah dunia itu, wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bekalan dunia itu mudah lenyap. Kekayaan dunia itu merupakan kemiskinannya. Dunia itu mempunyai pembunuh. Dunia itu menghina orang yang memuliakannya. Memiskinkan orang yang mengumpulnya. Dunia itu seperti racun yang diminum oleh orang yang tidak mengenalnya. Di dalamnya ada sesuatu yang mematikannya. Dalam menghadapi dunia itu hendaklah engkau seperti orang yang mengubati lukanya. Ia menjaga yang sedikit kerana takut terhadap yang tidak disukainya pada masa yang panjang. Ia bersabar merasakan pahitnya ubat, kerana takut lamanya penyakit. Awaslah akan negeri ini, yang menyalahi janji, yang menipu, yang menyesatkan, yang menghiasi dengan tipuannya dan yang membuat fitnah dengan tipu dayanya.

Dunia membuat hal-hal yang ada sekarang menjadi angan-angan belaka dan membuat untuk masa depan dengan perkataan. Dunia itu seperti pengantin perempuan yang datang kepada suaminya. Semua mata memandang kepadanya. Semua jiwa asyik kepadanya lalu ia tertipu dan durhaka serta lupa akan tempat kembali (akhirat). Kerana hatinya sibuk pada dunia, tidak akan memperoleh apa yang dicarinya. Tidak akan diperolehi hal yang menyenangkan dirinya setelah susah payah mencarinya. Lalu keluarlah ia tanpa bekalan, sebagaimana ia datang tanpa persediaan. Hati-hatilah terhadap dunia itu wahai Amirul Mukminin! Hendaklah ada di antara engkau itu gembira kepada apa yang ada pada engkau! Awasilah diri, sesungguhnya teman dunia itu, tiap kali ia tenang dari dunia kepada kegembiraan, nescaya dunia itu menerbitkannya kepada yang tidak disukai. Yang suka pada orang, dunia itu tertipu. Yang bermanfaat pada dunia itu, menipu yang mendatangkan melarat. Sesungguhnya sampailah kelapangan dari dunia itu dengan bencana. Dan yang kekal dari dunia itu bercampur aduk dengan kesedihan. Tiada kembalinya daripadanya, apa yang berpaling dan yang membelakanginya. Dan tidak diketahui apa yang akan datang, lalu ditunggunya. Cita-cita dunia itu dusta dan angan-angannya itu kosong belaka. Kejernihannya itu keruh. Dan kehidupannya itu susah. Dunia berbahaya bagi manusia, kalau ia berakal dan memperhatikan. Maka ia petik hikmah dari bahaya dan dari bencana itu atas ketakutan. Maka jikalau Khaliq tidak memberitakan tentang dunia dan tidak membuat suatu contoh perumpamaan bagi dunia dan nescaya dunia itu telah membangunkan orang yang tidur dan meperingatkan orang yang lalai. Bagaimanakah boleh demikian?Sesungguhnya telah datang dalam dunia dari Allah seorang pemberi pengajaran. Maka tiadalah dunia itu mempunyai nilai pada sisi Allah Yang Maha Agung pujianNya. Dan ia tidaklah memandang dari dunia itu, semenjak dijadikannya. Dan sudah ditunjukkan dunia kunci-kunci dan gudang-gudang kepada Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w tidak mahu menerimanya. Kerana baginda tidak suka menyalahi perintah Allah S.W.T atau suka kepada yang dibenci oleh Khaliqnya, atau meninggikan yang telah direndahkan oleh pemiliknya. Ia disingkirkan dunia itu dari orang-orang yang soleh sebagai ujian. Ia bentangkan dunia itu bagi musuh-musuhNya, sebagai tipuan. Lalu disangka oleh orang yang tertipu dengan dunia dan yang menguasai dunia, bahawa ia memperoleh kemuliaan dengan dunia itu. Dan ia lupa apa yang telah diperbuat oleh Allah S.W.T dengan Nabi Muhammad s.a.w ketika ia mengangkat batu atas perutnya.”

 

  • Telah datang riwayat dari Nabi Muhammad s.a.w dari Tuhannya (Allah) Azza Wa Jalla bahawa Tuhan berfirman kepada Nabi Musa a.s :

 

  • Apabila engkau melihat kekayaan datang berhadapan. maka katakanlah , “dosa yang mempercepatkan seksaannya.”. Dan apabila engkau melihat kemiskinan datang berhadapan, maka katakanlah, “selamat datang petanda orang-orang soleh.” Dan jika engkau mahu, ikutilah Isa Ibnu Maryam a.s. Sesungguhnya Nabi Isa a.s. berkata, “Santapanku itu lapar dan pertandaku ialah takut. Pakaianku itu bulu. Pemanasan tubuhku pada musim dingin ialah berpanas matahari. Lampu itu bulan. Kenderaanku itu dua kakiku. Makananku dan buah-buahanku itu, apa yang ditumbuhkan oleh bumi, aku bermalam dan aku tidak mempunyai apa-apa. Dan tidak seorang di atas bumi yang lebih kaya daripadaku.”. Orang mukmin itu pemimpin atas dirinya. Sungguh ringanlah hitungan atas dirinya sendiri di dunia ini. Dan sesungguhnya sukarlah perhitungan (hisab) pada hari akhirat atau suatu kaum yang mengambil persoalan ini tanpa muhasabah.”

Anemia: Fakta.

assalamualaikum.

  • Maklumat WHO ada menyebut sekita 2 juta penduduk dunia menderita penyakit anemia.
  • Di negara Malaysia, golongan berkemampuan atau tidak mampu, lelaki, perempuan, remaja dan kanak-kanak yang banyak menderita penyakit anemia.
  • Anemia kepada kaum perempuan:
  1. Boleh menjejaskan kesuburan penghasilan semula.
  2. Dari maklumat tahun 1995, 50.9% ibu hamil mengalami anemia.
  3. Anemia terhadap ibu hamil boleh menyebabkan bayi lahir pramatang.
  4. Kematian terhadap ibu hamil.
  • Anemia terhadap anak:
  1. Anak yang menghadapi anemia boleh terganggu konsentrasi pembelajarannya dan juga perkembangan psikomotoriknya.
  2. Anemia yang berlaku sejak dari bayi dan berterusan sehingga anak berusia dua tahun boleh menyebabkan gangguan mental kekal.
  3. Maklumat tahun 2001-2003, ada sebanyak 5 juta bayi yang baru bertatih dan 8.1 juta anak yang menghidap anemia.
  4. Anemia terhadap anak boleh berlaku akibat infeksi cacing tumpangan.
  • Anemia pada lanjut usia:
  1. Bagi mereka yang lanjut usia, meminum teh setiap hari mempunyai risiko menghidap anemia 92 kali lebih tinggi daripada yang tidak meminum teh.
  2. Risiko kematian pada lanjut usia yang menghidap anemia adalah sebanyak lima kali ganda lebih besar daripada mereka yang tidak menderita anemia.
  • Kacang hijau mempunyai reputasi sebagai “penawar” kurang darah akibat kekurangan zat besi. Penelitian yang dilakukan oleh Taslimah pada tahun 1990 telah menunjukkan kandungan zat besi pada kacang hijau adalah yang tertinggi di antara jenis kekacang. 100 gram kacang hijau mengandungi sebanyak 26.15 mg zat besi, manakala keperluan zat besi pada peringkat dewasa lelaki hanya sebanyak 13 mg. Manakala perempuan yang masih haid adalah sebanyak 26 mg.
  • Bayam juga mempunyai reputasi sebagai “penawar” anemia daripada kandungan zat besinya yang paling tinggi di antara sayuran hijau lainnya. Kandungan betakarotin, vitamin A,C,E,K, kalsium dan protein membantu tubuh menyerap zat besi.
  • Hemoglobin yang selalu rendah boleh menyebabkan berlakunya thalassemia. Penyakit ini berbeza dengan darah yang bersifat menurun dan tidak boleh diatasi dengan ubat-ubatan yang mengandungi zat besi.

 


Bidadari Untuk Umar.

assalamualaikum.

Umar r.a. adalah salah satu dari sahabat Rasulullah S.A.W. Semenjak ia memeluk Islam, kaum Muslimin seakan memperoleh suatu kekuatan yang sangat besar. Sejak itulah mereka berani bersolat dan tawaf di Kaabah secara terang-terangan.

Umar r.a. adalah seorang yang warak, ia sangat teliti dalam mengamalkan Islam. Beliau mempelajari surah al-Baqarah selama sepuluh tahun dan kemudiannya melaporkan kepada Rasulullah S.A.W.,

“Wahai Rasulullah S.A.W, apakah kehidupanku telah mencerminkan surah al-Baqarah? Apabila belum, maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya.”

Rasulullah S.A.W menjawab,

“Sudah.”

Umar r.a. mengamalkan agama sesuai dengan kehendak Allah S.W.T. Kerana kesungguhan inilah, maka banyak ayat dalam al-Quran yang diturunkan Allah S.W.T adalah berdasarkan kehendak yang ada pada hatinya, seperti mengenai pengharaman arak, ayat mengenai hijab dan beberapa ayat al-Quran yang lainnya.

Rasulullah S.A.W seringkali menceritakan kepada para sahabatnya mengenai perjalanannya mikraj menghadap Allah S.W.T. dan keadaan syurga yang dijanjikan Allah S.W.T.

Suatu hari ketika Rasulullah S.A.W dimikrajkan menghadap Allah S.W.T, malaikat Jibril AS memperlihatkan taman-taman syurga kepada baginda S.A.W. di mana baginda melihat ada sekumpulan bidadari sedang bercengkerama.

Ada seorang bidadari yang begitu berbeda dari yang lainnya di mana bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu. Rasulullah S.A.W bertanya kepada Jibril,

“Wahai Jibril, bidadari siapakah itu?”

Malaikat Jibril AS menjawab,

“Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar r.a.

Pernah suatu hari, ia membayangkan tentang syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeda dari bidadari yang lainnya. Bidadari yang diinginkannya itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah dan bahagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah, maka saat itu juga Allah menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya.” 


Makbul & Mustajab.

assalamualaikum.

Panduan Doa Makbul.

  • Tidak melakukan perkara yang menghalang doa dimakbulkan.
  • Membiasakan diri dengan tiga tabiat para Nabi.
  • Menguatkan doa dengan tawassul syar’i (yang dibenarkan syarak).
  • Mengambil peluang dengan masa, tempat atau keadaan yang mustajab doa.

“Berdoalah kepada-Ku, pasti Aku kabulkan doamu.”

(Surah al-Mukminun 40:60)

Individu yang  Mustajab Doa.

  • Seorang Muslim yang mendoakan saudaranya.

“Doa seorang Muslim buat saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan sanudaranya itu mustajab. Atas kepalanya, ada malaikat yang ditugaskan setiap kali dia berdoa buat saudaranya itu, malaikat itu juga berdoa berkata : “Amin, dan buatmu juga yang seumpama itu (seperti hajat yang didoakan buat saudaranya).”

(Riwayat Muslim)

  • Orang berpuasa.
  • Pemimpin yang adil.
  • Orang yang dizalimi.

“Doa orang yang dizalimi itu mustajab, sekalipun dia seorang yang berbuat maksiat, kerana kemaksiatannya itu adalah tertanggung ke atas dirinya sendiri.”

(Riwayat Ahmad)

  • Ibu bapa.
  • Musafir.

“Tiga doa yang dimakbulkan tanpa syak lagi ; doa orang yang dizalimi, doa orang bermusafir dan doa ibu bapa untuk anaknya.”

(Riwayat al-Tirmizi)

  • Si anak yang berdoa buat ibu bapanya.

“Allah mengangkat darjat seorang hamba yang soleh dalam syurga. Hamba itu bertanya : “Wahai Tuhanku, bagaimana aku boleh dapat semua ini?” Allah menjawab : “Dengan istighfar oleh anakmu untukmu!”

(Riwayat Ahmad)

  • Orang yang sedang menunaikan haji atau umrah.

“Orang yang sedang berperang di jalan Allah, haji dan umrah isalah delegasi tetamu Allah. Allah menyeru mereka, mereka menyahut seruan. Mereka memohon, maka Allah mengurniakannya.”

(Riwayat Ibn-Majah)

  • Orang yang banyak mengingati Allah.

“Tiga manusia yang doa mereka tidak ditolak ; orang yang banyak sekali mengingati Allah, orang yang dizalimi dan pemimpin yang adil.”

(Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)

  • Orang yang tidur dalam keadaan suci.

“Tidak ada seorang Muslim yang tidur dalam keadaan dia mengingati Allah dan bersuci, kemudian dia terjaga malam dan memohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat melainkan Allah makbulkan untuknya.”

(Riwayat Abu Daud)

  • Orang yang berdoa dengan doa Nabi Yunus.

“Tidak ada seorang Muslim pun yang berdoa dengannya, melainkan Allah makbulkan untuknya.”

(Riwayat al-Tirmizi)

  • Orang yang benar-benar dalam kesulitan.

“Siapakah yang memperkenankan doa orang yang sedang menderita pada saat dia berdoa kepada-Nya?”

(Surah al-Naml 27:62)

Tip Doa Makbul.

Dalam surah al-Anbiya’ antara ayat 73 hingga 90, Allah merakamkan kisah para Nabi dan doa-doa mereka yang dimakbulkan. Pada akhir ayat 90, Allah menyenaraikan tiga tabiat serupa para Nabi yang menyebabkan doa mereka begitu makbul :

  • Sesungguhnya mereka sentiasa bersegera melakukan kebaikan.
  • Sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh pengharapan dan ketakutan.
  • Sentiasa tunduk patuh kepada Kami.

Masa yang Mustajab Berdoa.

  • Antara azan dan iqamah.
  • Ketika hujan.
  • Semasa ayam berkokok.
  • Kala sepertiga malam.
  • Ketika sujud dalam solat.
  • Ketika waktu senang.
  • Ketika peperangan.
  • Di hujung solat fardhu selepas tahiyat sebelum salam.
  • Pada malam hari.
  • Pada hari Jumaat.

Orang yang Allah Kabulkan Isi Hatinya Tanpa Berdoa.

Allah S.A.W berfirman : “Sesiapa yang disibukkan dengan membaca al-Quran dan mengingati Aku daripada meminta sesuatu daripadaKu, maka Aku akan memberikannya lebih baik daripada apa yang diminta oleh orang lain. Dan kelebihan perkataan Allah (al-Quran) atas perkataan-perkataan lain adalah seperti kelebihan Allah atas makhlukNya.”

(Riwayat al-Tirmizi)


Pendinding Doa.

assalamualaikum.

  • Lalai ketika berdoa.
  • Tidak bersungguh-sungguh berdoa.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin pasti diperkenankan. Ketahulah Allah tidak akan memakbulkan doa dari hati yang lalai serta tidak bersungguh-sungguh,”

(Riwayat al-Tirmizi)

  • Kurang yakin doa akan dimakbulkan-Nya.
  • Tidak berselawat

“Setiap doa itu terhalang sehinggalah diucapkan selawat ke atas Nabi S.A.W”

(Riwayat al-Dailami)

  • Perbelanjaan hidup daripada sumber yang haram.

“Ada seorang musafir dalam perjalanan yang memeritkan. Rambutnya kusut masai lagi berdebu. Dia menadah tangannya ke langit (berdoa dengan penuh pasrah) “Wahai Tuhanku.. wahai Tuhanku.”(orang dalam kesulitan sepatutnya lebih makbul doanya). “Sedangkan makanan, minuman, pakaian dan perbelanjaannya semua daripada sumber haram. Bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?”

(Riwayat Muslim)

  • Cepat berputus asa.
  • Melakukan syirik.

Ada orang yang berdoa bersungguh-sungguh, tetapi pada masa yang sama, dia berikhtiar dengan usaha syirik seperti pergi berjumpa bomoh, memakai tangkal, berdoa di kubur dan sebagainya.

“Sesiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara, kemudian dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh hari.”

(Riwayat Muslim).

  • Tidak merendah diri ketika berdoa.

Seperti berdoa dengan suara yang nyaring dan lantang.

“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri beserta suara yang rendah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang melampau.”

(Surah al-A’raf 7:55)

  • Kurang beradab ketika berdoa.

Rasulullah pernah menegur seorang sahabat yang berdoa dengan suara yang lantang : “Wahai manusia, tenangkan diri. Sesungguhnya kamu bukannya berdoa kepada (Tuhan) yang pekak lagi tidak ada. Sesungguhnya kamu berdoa kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.”

(Riwayat al-Bukhari)

  • Memutuskan silaturrahim.

Kekasihku, Kekasihmu Jua.

assalamualaikum.

  • Katakanlah wahai Muhammad, “Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Ali Imran 3:31)
  • “Sekiranya hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Aku, sesungguhnya Aku amat dekat”. (Surah Al- Baqarah 2:186)
  • “Sesungguhnya Kami ciptakan insan itu dengan sebaik-baik penciptaan”. (Surah At-Tin 95:4)
  • “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan”. (Surah Al-Ghafir 40:60)
  • “Dan Allah mencintai orang yang sabar”. (Surah Ali-Imran 3:146)
  • “Sesungguhnya Allah itu amat mencintai mereka yang sering bertaubat, dan mereka yang membersihkan diri”. (Surah Al-Baqarah 2:222)
  • “Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan”. (Surah Al-Insyirah 94:5-6)
  • “Barangsiapa yang menjalankan kebajikan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. (Surah Al-Zalzalah 99:7-8)
  • Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”. (Surah Al-Baqarah 2:216)
  • “Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. (Surah Al-Ra’d 13:28)
  • “Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah S.W.T”. (Surah Yusuf 12:87)
  • “Sesiapa yang bersama dengan Allah (yakni mengisi hari dan waktunya dengan Allah), maka Allah akan bersama dengannya sepanjang waktu.”

Rasulullah S.A.W ada bersabda bahawasanya Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:

Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadap Aku. Aku bersamanya ketika dia bersamaKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dengan pantas.