Biscotti


Category Archive

The following is a list of all entries from the Buku Resepi Orang Bujang category.

Simply Roasted Chicken.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Sos barbeku
  2. Cendawan butang (dipotong nipis)
  3. Garam
  4. Bawang putih
  5. Lada hitam
  6. Sosej (dipotong)
  7. Tepung serbaguna
  8. Mentega
  9. Ayam (dikelar)
H&H's favourite.

H&H’s favourite.

Steps.

  • Segala bahan mentah yang basah (baca : ayam, cendawan butang dan sosej) serta kering (baca: selebihnya) perlulah dibersihkan secara teliti dan sempurna bagi mengelakkan tragedi keracunan makanan yang dahsyat sepertimana yang berlaku di Kedah daripada melanda isi rumah tangga secara keseluruhannya.
  • Bagi menghasilkan bahan perapan buat watak utama dalam resepi ini, komponen utama yang terbabit yakni bawang putih hendaklah dikisar dalam jumlah kuantiti yang mesra ayam sebelum digaul mesra bersama garam, lada hitam dan sos barbeku.
  • Adalah dinasihatkan supaya bahan perapan di atas hendaklah disediakan dalam kuantiti yang agak berlebihan bagi memudahkan proses penghasilan kuah yang seterusnya akan menjadi pelengkap hidangan pada hari ini.
  • Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah Celsius sekurang-kurangnya dalam jangka masa 20 hingga 30 minit. Setelah tempoh pemerapan ayam berakhir, segala bahagian ayam yang terlibat sebentar tadi hendaklah dibungkus secara tidak begitu kemas menggunakan foil aluminium sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar untuk tempoh masa yang sesuai. Anaktirikan lebihan bahan perapan ayam sebentar tadi untuk digunakan dalam proses penghasilan kuah.
  • Bahagian ayam tersebut hendaklah dibalikkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kedua belah bahagian ayam terbabit dimasak dengan sempurna.
  • Hiriskan cendawan butang dan sosej dengan ketebalan yang menepati cita rasa sebelum dianaktirikan buat beberapa ketika untuk memberi ruang bagi proses menghiris bawang putih secara kasar yang akan digunakan dalam proses pembuatan kuah yang seterusnya.
  • Cairkan mentega dalam kuantiti yang kecil di dalam periuk kecil di atas api yang kecil sebelum memasukkan bawang putih yang dihiris kasar sebentar tadi dan tumiskan sehingga terbit aroma yang mampu mengencangkan pengeluaran air liur dalam mulut dan asid penghadaman dalam perut.
  • Masukkan bersama hirisan sosej dan tumis sehingga masak sebelum memasukkan tepung goreng serbaguna dalam kuantiti yang berpatutan. Bahan tersebut hendaklah ditumis sekejap sahaja bagi menerbitkan rasa yang enak sekaligus mengelakkan rasa pahit hangit apabila ditumis dalam tempoh masa yang keterlaluan.
  • Campurkan kesemua lebihan bahan perapan ayam tadi ke dalam periuk kecil yang mengandungi segala bagai bahan tumis dan masak di atas api dengan konsistensi kehangatan yang sesuai.
  • Keluarkan ayam yang telah siap dipanggang daripada ketuhar dan campurkan lebihan minyak dan kuah yang dihasilkan semasa proses pemanggangan ke dalam kuah yang sedang dihasilkan dalam periuk kecil sebentar tadi. Kuantiti air masak bolehlah dicampurkan dalam kuantiti yang berpatutan bagi menghasilkan kepekatan kuah yang menepati selera tukang makan.
  • Garam, lada hitam dan sos barbeku bolehlah ditambahkan ke dalam kuah dalam kuantiti yang berpatutan bagi menerbitkan rasa yang bersesuaian dengan kehendak selera masing-masing.
  • Setelah pasti bahawa kuah yang dihasilkan tadi telah pun masak, tutup api dapur sebelum mencurahkan kuah ke atas ayam panggang yang telah dianaktirikan buat beberapa ketika tadi.

Agar-Agar Mama.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Sepaket agar-agar (dipotong kecil)
  2. Pewarna hijau
  3. Sebiji telur
  4. Sebiji kelapa parut
  5. Daun pandan (dikisar)
  6. Gula
  7. Garam

Steps.

  • Sepaket agar-agar yang terdapat dalam simpanan hendaklah digunting-gunting sehingga mencapai saiz yang optimum sebelum diletakkan dalam sebuah periuk berisi air paip, mineral mahupun suling yang bersih sebanyak 1.4 liter di atas api dapur dengan intensiti kepanasan yang sesuai dan bukannya api lilin mahupun pelita minyak tanah. Adalah penting untuk diingatkan di sini bahawa plastik pembungkus yang mengandungi agar-agar tadi hendaklah dibuka dan dibuang sebelum isinya dibuang dan dibasuh bagi membolehkan arahan terdahulu tadi dilaksanakan dengan betul.
  • Sementara menunggu perubahan bentuk agar-agar yang tidak boleh dimakan kepada bentuk yang mesra penghadaman, gaul dan ramas kelapa parut, telur beserta dengan daun pandan yang telah dikisar sehingga bahan-bahan tersebut bersatu mesra.
  • Air dalam kuantiti yang sesuai hendaklah dicampurkan bersama bahan-bahan tadi bagi memudahkan proses memerah santan kemudiannya. Santan yang terhasil hendaklah ideal dari segi kepekatannya di mana ianya tidak terlalu pekat mahupun terlalu cair.
  • Dua cawan gula prai dimasukkan ke dalam periuk yang mengandungi agar-agar pada kepanasan yang ideal dan bentuk yang sesuai bagi penghadaman.
  • Solusi agar-agar tadi perlu dikacau buat seketika sehingga gula yang dicampurkan tadi larut sebelum meletakkan sedikit pewarna hijau dan perahan santan ke dalam campuran agar-agar tadi.
  • Solusi agar-agar bersama santan tadi hendaklah dikacau atas dapur api sehingga mencapai tahap mendidih. Garam yang diletakkan dalam kuantiti yang ideal boleh menerbitkan rasa lemak pada agar-agar dan bukan sekadar manis semata.
  • Tutup api dan biarkan ianya sejuk sedikit buat seketika sebelum menuangkannya ke dalam acuan agar-agar yang bersih. Solusi agar-agar dalam acuan tadi hendaklah dibiarkan mengeras sedikit pada suhu bilik sebelum memindahkan agar-agar yang terhasil ke dalam peti sejuk.

all-time favourite.


Roti Sardin Gulung.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Roti sandwich (diuli nipis)
  2. Ikan sardin berkuahkan sos tomato dalam tin (dilecek halus)
  3. Bawang besar (dipotong dadu)
  4. Air masak
  5. Tepung gandum (dibancuh pekat)
  6. Telur (dipukul)

Steps.

  • Kepingan-kepingan roti sandwich yang belum lagi sampai tarikh luputnya hendaklah diuli menggunakan kayu penguli sehingga mencapai tahap kenipisan yang dikira sesuai dengan selera rakyat jelata seisinya.
  • Selepas menganaktirikan kepingan roti yang diuli nipis tadi, kupas bawang besar dan cuci sehingga bersih sebelum dipotong kecil dalam bentuk dadu. Setengah biji bawang besar adalah dikira memadai bagi mengelakkan masalah nafas busuk daripada menguasai suasana rumah di pagi yang hening dan mulia ini.
  • Seterusnya, ikan sardin berkuahkan sos tomato tadi hendaklah dilecek sehingga mencapai kondisi yang sesuai bagi memudahkan proses menginti roti sebentar sahaja lagi. Setelah selesai dilecek, bawang besar potongan dadu tadi hendaklah dimasukkan sekali seterusnya digaul mesra bagi menambahkan lagi rasa inti sardin ini.
  • Sebelum memulakan proses menginti, tepung gandum tadi hendaklah dibancuh dengan air masak sehingga mencapai kelikatan yang memuaskan. Hal ini kerana bancuhan tepung gandum ini akan digunakan bagi mengemaskan gulungan roti sardin selepas diinti atas roti dan digulung dengan sempurna.
  • Selepas segala proses menginti, menggulung dan mengemas roti sardine gulung tadi selesai, minyak masak hendaklah dipanaskan dalam kuali atas mana-mana dapur samada dapur kayu mahupun dapur gas pada suhu yang sesuai bagi mengelakkan nama resepi ini bertukar kepada resepi roti sardin gulung hangus.
  • Sementara menunggu minyak yang panas kerana dipanaskan atas kuali dan bukannya minyak panas yang digunakan bagi tujuan mengurut, sebiji dua telur ayam hendaklah dibasuh sebelum dipecahkan ke dalam mangkuk dan dipukul. Gulungan roti sardin tadi kemudiannya dicelupkan dengan kuning dan putih telur yang dipukul bersama sedetik lalu sebelum digoreng dalam kuali mengandungi minyak panas sehingga sedikit kuning keemasan.

breakfast?


Baby Kailan Masak Cendawan Shitake & Sos Tiram.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Baby kailan. (dipotong kecil)
  2. Bawang putih. (diketuk)
  3. Cili padi. (dihiris nipis)
  4. Cendawan shitake. (dipotong kecil)
  5. Bawang besar. (dipotong)
  6. Sos tiram.
  7. Garam.
  8. Stok ikan bilis.
  9. Kicap masin.

Steps.

  • Segala jenis sayuran seperti baby kailan dan cendawan shitake serta bahan-bahan tumisan seperti bawang besar, bawang putih dan cili padi yang terlibat dalam resepi kali ini hendaklah dibersihkan dengan sebaiknya terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan yang selanjutnya.
  • Bawang besar, cendawan shitake dan baby kailan hendaklah dipotong mengikut ketebalan yang sesuai dengan sukatan pemakanan konsumer manakala cili padi perlu dihiris senipis-nipisnya. Pada masa yang sama, bawang putih tadi hendaklah diketuk.
  • Setelah minyak dalam kuantiti yang mencukupi di dalam sebuah kuali dipanaskan pada suhu yang sesuai, bahan-bahan tumisan ditumis sehingga menaikkan aroma yang menyelerakan.
  • Dengan kedatangan aroma yang menyelerakan itu, maka sejumlah air masak dan sos tiram dalam kuantiti yang sesuai hendaklah dimasukkan ke dalam masakan tadi. Setelah dikacau buat beberapa kali, potongan cendawan shitake hendaklah dimasukkan dan dikacau buat beberapa ketika sejurusnya dibiarkan sehingga kuah masakan tersebut mendidih.
  • Setelah kuah sos tiram tadi mendidih, potongan baby kailan tadi dimasukkan ke dalam kuali. Garam, kicap masin serta stok ikan bilis dimasukkan dan masakan tersebut dikacau buat beberapa ketika sebelum diangkat untuk disajikan bagi mengelakkan kehilangan nutrisi.

lovechild.


Toasted Twister.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Daun salad
  2. Tomato
  3. Bread wraps
  4. Chicken popcorn
  5. Mayonis
  6. Sos cili thai

Steps.

  • Segala jenis sayuran yang terdapat dalam masakan kali ini iaitu daun salad dan tomato hendaklah dibasuh bersih untuk mengelakkan keracunan makanan yang mungkin menyusahkan konsumer pada masa yang akan mendatang. Setelah dibersihkan, tomato tersebut hendaklah dipotong dadu manakala daun salad pula perlu dipotong mengikut kesesuaian saiz bread wraps.
  • Seterusnya, bread wraps yang bakal digunakan untuk membalut segala bagai bahan dalam masakan kali ini hendaklah diletakkan di atas kuali sederhana panas tanpa minyak selama 30 saat per sisi bagi memastikan bread wraps tersebut berada dalam keadaan yang sterile tanpa kehadiran sebarang mikroorganisma yang bersifat psychrotrophic dan mesotrophic. Kepanasan kuali yang berlebihan boleh menyebabkan bread wraps menjadi rapuh seperti tosai yang bakal mendatangkan kesusahan sedikit jika bukan sebanyak semasa proses membalut di kemudian hari.
  • Setelah selesai memanaskan bread wraps, kuali tadi hendaklah dimasukkan dengan minyak masak dan dipanaskan pada suhu yang dikira sesuai untuk tujuan menggoreng popcorn ayam. Potongan kecil daging ayam juga boleh digunakan bagi menggantikan popcorn ayam. Adalah dinasihatkan bagi para pengamal diet untuk menyediakan potongan kecil ayam tersebut dengan cara masakan grill bagi mengelakkan risiko kolesterol tinggi dalam darah.
  • Mayonis dan sos cili thai hendaklah disapu secara rata ke atas bread wraps sebelum dilapisi oleh helaian daun salad dan potongan kiub tomato. Kuantiti mayonis, sos cili thai, helaian daun salad dan potongan kiub tomato adalah berbeza mengikut kehendak individu.
  • Akhir sekali, popcorn ayam atau potongan kecil ayam yang selesai dimasak tadi hendaklah diletakkan secara rapi di atas helaian daun salad dan potongan kiub buah tomato tadi sebelum menggulung bread wrap beserta dengan segala bahan intinya sebentar tadi.
  • Toasted Twister tadi boleh dihidangkan begitu sahaja mahupun dikerat dua secara horizontal jika mulut-mulut yang merasa itu tidak sebesar mana.

selekeh.


Sayur Masak Ikan Masin.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Ikan terubuk masin (dihiris nipis, diketuk).
  2. Bawang putih (diketuk)
  3. Sayur (dipotong kecil)
  4. Sos ikan
  5. Sos tiram
  6. Cili merah (dihiris nipis)
  7. Cili padi (dihiris nipis)
  8. Air ikan masin.
  9. Stok ikan bilis.

Steps.

  • sayuran yang terpilih tadi mestilah dibersihkan dan dipotong kecil dahulu sebagai tanda simpati kepada sistem penghadaman manusia yang sentiasa berusaha keras dalam memproses makanan *makan banyak*.

 

  • ikan terubuk masin tadi hendaklah dihiris nipis dalam kuantiti yang menepati cita rasa sebelum diketuk dan seterusnya diramas dalam kuantiti air yang berpatutan bagi menghasilkan air ikan masin yang akan digunakan dalam proses masakan sebentar lagi.

 

  • cili dua beradik iaitu cili merah dan cili padi hendaklah dihiris nipis dalam kuantiti yang menepati selera. sila tambahkan lagi bilangan cili padi jika anda menggemari rasa pedas-pedas dalam masakan anda.

 

  • bawang putih tadi juga hendaklah diketuk-ketuk menggunakan lesung batu sehingga kelihatan sedikit pecah. anda juga boleh mengetuk bawang putih tersebut dengan menggunakan belakang pisau anda jika anda mempunyai kudrat seperti Chef Wan dalam mengetuk bawang menggunakan tangan. bawang putih tadi kemudiannya hendaklah dihiris nipis.

 

  • apabila minyak yang dipanaskan dalam kuali sudah mencapai tahap kepanasan yang ideal, tumiskan hirisan bawang putih, cili padi, cili merah dan ikan terubuk masin sehingga hirisan ikan masin tersebut mengeluarkan bau yang enak dan bertukar warna.

 

  • apabila hirisan ikan masin tersebut hampir masak, masukkan sayuran yang telah dipotong tadi dan gaulkan buat beberapa ketika sehingga potongan sayur tersebut kelihatan sedikit layu.

 

  • masukkan sos tiram dan sos ikan mengikut kuantiti yang dikehendaki sebelum memasukkan air ikan masin dan stok ikan bilis ke dalam kuali yang berisi makanan yang sedang dimasak ini. setelah dibiarkan buat beberapa ketika, hidangan ini boleh lah disajikan untuk dinikmati bersama dengan segenap lapisan masyarakat.

 

are you melting already?

 

well, too late *burp*.

 


Ikan Siakap Kukus.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Cili padi (sebahagian dihiris nipis, sebahagian lagi diketuk)
  2. Kicap cair lemak masin
  3. Sos ikan
  4. Sos tiram
  5. Halia (sebahagian dihiris nipis, sebahagian diketuk)
  6. Ikan siakap (dibersihkan, dikelar)
  7. Bawang putih (dihiris nipis)

Steps.

  • Subjek dalam masakan kali ini, iaitu ikan siakap, hendaklah dikelar badannya. Sebelum mengelar badannya, ikan tersebut hendaklah dibersihkan dahulu dengan sebersih-bersihnya bagi mengurangkan risiko keracunan makanan.
  • Setelah diperlakukan sedemikian rupa, ikan tadi hendaklah dianaktirikan buat seketika bagi membolehkan anda menyediakan bahan lumuran yang sekaligus menjadi kuah buat masakan kali ini.
  • Adalah dinasihatkan supaya bawang putih dan halia hendaklah dihiris nipis dalam kuantiti yang agak banyak agar ikan dan kuah yang terhasil tidak tawar apabila dirasa.. jauh sekali hambar di jiwa.
  • Sebelum menghiris bahan-bahan hirisan di atas, bahan-bahan hirisan tersebut hendaklah dibuang kulitnya dan dibersihkan terlebih dahulu bagi mengelakkan rungutan dan bebelan dari orang-orang yang tersayang.
  • Sebahagian daripada cili padi yang telah anda pilih hendaklah diketuk manakala selebihnya hendaklah dihiris nipis bagi menerbitkan sedikit rasa pedas dalam masakan ini.
  • Sos ikan, sos tiram dan kicap cair lemak masin hendaklah diadun mesra bersama dengan bahan-bahan hirisan yang baru sahaja disediakan sebentar tadi sebelum dilumurkan secara keseluruhannya pada ikan siakap yang dianaktirikan buat beberapa ketika yang lalu.
  • Setelah dilumur, ikan tersebut hendaklah dikukus buat beberapa ketika sehingga ikan tersebut terkukus dengan sempurna.

"envy me"

 

 

kata ikan tersebut.

 


Kak Bedah.

assalamualaikum.

Hari ni aku masak sendiri juadah sahur aku. Bukannya aku tak biasa masak pun sebelum ni.. lagipun, dah lama aku tak test skil memasak aku.

Salahkan Abah. Dan Kak Bedah. Yea.. Kak Bedah perlu diberi share saham yang besar dalam hal ni. Kenapa?

 

di sebelah kiri itu Kak Bedah.

 

 

Indah khabar dari rupa. Semester lepas, Mama mula menghidap sakit kronik.

Misteri pun misteri jugak sebab Mama dah admitted di dua jenis hospital pakar dan kedua-dua hospital tersebut hanya mampu memberi analisis pemeriksaan kesihatan yang negative.

 

jururawat paksa rela.

 

 

Aku bukanlah anak yang baik. Aku mula putus harapan. Analisis yang negative menandakan bahawa Mama tidak menghidapi apa-apa masalah kesihatan.

Aku juga diserang demam pada hari pertama Mama masuk hospital. Aku tak lalu makan.. membazir aku beli nasi goreng kat Restoran Bok Siti di DEMC. Dahla charge aku dalam RM5 ke atas mungkin? Tak masuk tax kerajaan 6%.

 

harap je mahal.

 

 

Doctor pakar dari Hospital DEMC kata Mama mengalami anxiety disorder. Mungkin juga depression. Nice job, ace. It doesn’t change anything at all.

Nasib baik demam aku mengambil masa untuk kebah hanya sehari selepas berjumpa dengan Doktor Iskandar. Terima kasih, doctor.

Kak Bedah datang melawat Mama setelah Mama keluar dari KPJ Health Care Centre. Aku kesian dengan Abah. Sepanjang Mama sakit, makan minum Abah tak terjaga. Seluruh isi rumah jadi huru-hara.

Oleh itu, aku bertindak sebagai penyelaras isi rumah aku dan bertanggungjawab menjaga makan minum Mama dan tetamu rumah semasa ketiadaan Mama. Yea.. aku juga menjadi tukang masak rumah yang rasmi ketika itu.

Oleh kerana aku mempunyai full access terhadap bahan-bahan di dapur, aku telah menjalankan ujikaji makanan yang berbagai di dapur. Kadang-kadang, masak tengahari je dah ambik masa selama dua jam lebih.

Dan aku biasanya mula masak tengahari dalam pukul 10 ke atas. Sangat choi kan? Nasib baik tetamu rumah aku tak mati kebulur.

Setelah segala usaha dan rawatan yang diambil tidak mendatangkan hasil, Kak Bedah mencadangkan supaya Mama dibawa pulang ke kampung dan melakukan solat hajat di sana.

Abah setuju. Aku dapat lihat bahawa dia terpaksa akur kerana tiada siapa yang dapat melayan Mama jika rombongan Kak Bedah pulang tanpa Mama.

Hal ini menyukarkan Abah kerana Abah terpaksa meninggalkan Mama seharian demi mencari sesuap nasi bagi keluarga. Dan Mama perlukan teman serta orang untuk menjaga beliau.

Langit tak selalunya cerah. Rupa-rupanya, aku dan adik-adik aku juga perlu pulang ke kampung. Sangat choi! Ni semua idea Kak Bedah.

Setelah segala bagai perbincangan dan keputusan dibuat, aku segera membuat persiapan untuk pulang ke kampung. Aku juga tidak lupa menempah tiket kapal terbang untuk kemudahan Abah dan Mama.

Dalam perjalanan ke stesen bas, aku mempertikaikan sebab kenapa aku perlu ikut pulang bersama. Kesempatan yang ada juga aku ambil untuk menanyakan tentang kualiti masakan aku semasa rombongan Kak Bedah tinggal di rumah aku.

Tiba-tiba, mulut Kak Bedah laju je membidas aku dengan pelbagai tuduhan. Lauk tak cukup garam la, tak cukup masin la. Kalau tak cukup masak, aku boleh terima lagi.

Aku tak tahu apa dendam Kak Bedah dengan aku. Aku siap beli bantal baru lagi untuk dia semasa rombongan beliau tinggal kat rumah aku tau! Cukup lantang dan penuh perasaan pelbagai tuduhan itu dilontarkan.

Bagai kacang lupakan kulit. Aku teringat kembali bagaimana rombongan beliau pernah memuji masakan-masakan yang aku sediakan. Kembang kempis hidung aku menelan pujian yang diberikan.

 

ikan masak sambal kicap.

 

sambal ikan bilis.

 

ikan pari masak sambal.

 

 

Aku bodoh kerana tidak sedar akan konspirasi politik Kak Bedah yang melambung-lambung aku sementara dia menunggu masa dan peluang untuk menghancurkan aku secara total di khalayak ramai. Motif orang tua!

Masih menunjukkan raut wajah yang selamba dan cool, aku pun menjawab.. “lain kali, masaklah sendiri. Kakak dah tak nak masak dah balik kampung ni.”

Terkesima apabila mendengar feedback sebegitu rupa dari aku, Kak Bedah hanya mampu berkata, “Biar dok pun.” lalu menyiku aku.

Kau ingat aku takut? Sangat watlan, ok.

Choi tak? Aku tulis panjang-panjang ni semata nak cerita tentang kenapa aku dah lama tak test skil masak aku kan. Padahal ni bukannya isi penting pun dalam post aku kali ni.

Janganlah marah. Kalau marah, kena jual. Kuikui..


Cucur Bawang.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. Garam
  2. Tepung gandum
  3. Air
  4. Telur
  5. Bawang merah (dihiris nipis)
  6. Bawang putih (dihiris nipis)

Steps.

  • bawang merah dan bawang putih hendaklah dihiris nipis dan diketepikan. sebelum itu, kedua jenis bawang tersebut hendaklah dibuang kulit dan dibersihkan terlebih dahulu.

 

  • campuran air dan tepung gandum dalam kuantiti yang sepatutnya hendaklah diadun mesra sebelum memasukkan sebiji telur yang sudah pun dibasuh dan dipecahkan kulitnya. adunan hendaklah digaul mesra untuk menghasilkan sebuah bater.

 

  • hirisan bawang merah dan bawang putih tadi hendaklah dimasukkan ke dalam bater tadi dan diadun mesra buat beberapa ketika sebelum digoreng dalam minyak pada suhu yang sesuai sehingga berwarna keemasan.

 

my take.


Ayam Goreng.

assalamualaikum.

Ingredients.

  1. ayam (dipotong kecil)
  2. sos cili
  3. sos tiram
  4. serbuk lada sulah
  5. garam
Steps.
  • ayam yang dipotong kecil sebentar tadi hendaklah dibasuh terlebih dahulu sebelum diperap dengan sos cili, sos tiram, serbuk lada sulah dan garam secukup rasa selama sejam.

marinated

  • setelah cukup tempoh pemerapan, potongan kecil ayam sebentar tadi hendaklah digoreng dengan menggunakan minyak pada kadar kepanasan dan jumlah yang bertepatan.

fried.

outcome.